KUALA PILAH – Penduduk Taman Wawasan dekat sini, diancam serangan ribuan ulat bulu yang membanjiri kawasan perumahan mereka, sejak tiga minggu lalu.
Seorang penduduk, Lai Kok Leong, 43, berkata, kemunculan ribuan ulat bulu yang juga dikenali sebagai ‘ulat perencas’ itu membuatkan penduduk berasa bimbang.
Menurutnya, sejak musim kemarau, ulat bulu sering muncul pada awal pagi iaitu ketika matahari naik sehinggalah ke petang, namun ia berkurangan pada waktu malam.
“Saya percaya kehadiran ulat bulu itu berpunca daripada kawasan kebun buah-buahan dan semak berhampiran.
“Apa yang dibimbangkan kebanjiran ulat bulu ini boleh mendatangkan gatal-gatal jika terkena kulit,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, kehadiran ulat bulu secara tiba-tiba menimbulkan tanda tanya semua penduduk taman.
“Saya tidak tahu bagaimana tiba-tiba ulat bulu ini banyak di kawasan rumah dan di dalam longkang, malah dinding-dinding rumah juga dipenuhi ulat bulu.
“Pihak Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) sudah datang ke sini semalam (kelmarin) bagi melihat situasi ini dan sebatang pokok dipenuhi ulat bulu telah ditebang dan di bakar.
Bagaimanapun, keadaan tetap sama. Sehingga kini, ulat bulu masih lagi berada di merata tempat termasuk di atas jalan raya, ”katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Pilah, Sarjan Majeran Lop, 53, berkata, pihaknya diminta datang ke taman terbabit untuk membunuh ulat bulu yang dipercayai mengancam penduduk kerana kebanyakan mereka mengalami gatal-gatal di kulit.
“Saya dan lima anggota lain telah menyembur ribuan ulat bulu menggunakan racun perosak diperoleh dari Pejabat Kesihatan Kuala Pilah bermula kelmarin dan hari ini (semalam).
“Kami akan berusaha sedaya upaya mengawal ulat bulu daripada merebak ke rumah penduduk,” katanya.
- SINAR HARIAN
Hurmmmm...AiOL rasa...musim kemarau musim membiak ulat bulu kot..he..he
0 comments:
Post a Comment